Tuesday, March 28, 2017

Icky Tiga Puluhan - Kosong

Setelah sekian lama tidak menulis.

Dah lama tak menulis, Kenapa sekarang? 

Akhir sekali menulis ialah sekitar 2012, waktu itu cukup menginsafkan diri ini. 2011 aku berkahwin dan tahun 2012 merupakan tahun yang penuh dengan perkara baru, antaranya pertukaran kerja (dari Pemantau Media Siaran di KL ke guru Bahasa Inggeris di JB) dan lahirnya cahaya mata ku yang pertama,  Zaara Binti Ahmad Ikram. Waktu aktif menulis blog dulu aku cukup naif dan belum cukup terbuka mata dengan dunia. Topik-topik blog juga agak rencam dan kadang-kadang penuh dengan kemarahan yang tak tentu hala. 

Kini aku berumur 30 an, entah ada lagi yang membaca blog ini? Kali ini aku ingin mencurahkan segala perasaan yang tak dapat aku luahkan. Ini perlu, kerana mengenali diri ini, aku rasakan bahawa diri aku ini sebenarnya sukar difahami dan aku juga sukar menerangkan sesuatu perkara jika bukan dalam berbentuk tulisan. Mungkin tidak mengapa jika tiada sesiapa yang membaca, asalkan aku dapat meluahkan segala yang ada di hati ini, untuk diri sendiri.

Kini aku sudah mempunyai dua cahaya mata, Zaara dan Ellsa. Anak-anak inilah yang menerangkan hidup ini, yang sudah kelam kerana tak nampak hala tujunya. Kini hidup ku hanyalah untuk anak-anak, yang aku rasakan tanggungjawab yang sangat besar. Masa depan dua orang ini berada di tanganku, apa-apa keputusan dan tindakan aku akan memberi kesan kepada mereka.

Kini hidupku sebagai guru. Sebenarnya aku tidaklah mahu menjadi guru asalnya kerana aku tidak suka mengajar, apatah lagi matapelajaran Bahasa Inggeis (walaupun aku graduan TESL). Jiwa ku bukan disini. Aku dapat rasakan yang tarikan itu sangat kuat ke bidang seni muzik. Tapi apakah masa depan ku di bidang itu? Mampukah aku menyara hidup, menyara keluarga sekiranya aku memilih untuk berada di jalanan seni? Oleh itu aku dapat rasakan bahawa itulah keputusan terbaik, mendidik generasi muda dengan gaya tersendiri. Gaji pun agak lumayan berbanding kerja lain dan cuti juga banyak. Itulah yang aku kerap beritahu diri ini apabila tertekan dengan kerja dan kehidupan.

Tapi kini aku dapat rasakan yang hidup aku gelap. Aku ada segalanya, anak-anak, kelurga, kerjaya, rumah, kereta, kawan-kawan, dan sesekali ada juga bermain muzik bersama rakan-rakan. Cahaya-cahaya mata yang menerangi hidup ini bagaikan tidak cukup untuk menerangi kegelapan hati ini. Apakah puncanya? Mungkin aku patut berbalik pada agama, banyakkan membaca Al Quran atau mendalami ilmu agama. Aku bukan suami yang baik yang banyak kelemahannya. Aku gagal memimpin dengan sempurna. Bagaimana akhirat nanti?

Aku dapat rasakan sebenarnya aku bosan. Bosan dengan kerja, Bosan dengan rutin. Bosan kerana tidak dapat meluahkan apa yang aku hendak luahkan tanpa melukakan hati sesiapa. Bosan dengan kelemahan diri sendiri. Bosan kerana tidak nampak hala tuju. Aku mahukan hala tuju. Aku mahu berada di jalanan seni. Pada masa yang sama aku mahu kebajikan keluarga aku terjaga. Aku keliru.

Aku dapat rasakan yang aku juga kurang bersyukur. Ya aku bersyukur tapi kenapa aku masih rasa kosong? Itu tandanya aku tidak menghargai pemberian Tuhan. Ya Allah ampunilah aku, kerana begitu banyak dosaku pada Mu. Aku melakukan banyak dosa waktu ku muda, dan kini aku masih melakukan dosa. Aku telah mencuba pelbagai cara yang haram untuk mengubati kekosongan hati ini, dan aku menyalahkan pelbagai perkara dan pihak dek kekurangan diri ini. Patutkah begitu? Adakah aku mementingkan diri sendiri? Adakah aku sakit?

Aku akan teruskan menulis. Aku rasakan ini membantu aku menerangkan/melapangkan jiwa ini. Coretan-coretan yang akan datang juga akan cenderung ke pekara peribadi. Ini perlu. Sekian.


No comments: